Seluruh
dunia, terutamanya di Amerika Latin digemparkan dengan kehadiran Virus Zika.
Sehingga kini, amaran ke beberapa negara di sana telah dikeluarkan dalam
memastikan Virus tersebut tidak dijangkiti dan disebarkan secara meluas.
Sungguhpun
negara kita masih belum mengeluarkan sebarang amaran bahaya, namun Kementerian
Kesihatan Malaysia telah membuat kenyataan akhbar hari ini, 29
Januari 2016, susulan Virus Zika yang semakin menular secara global dan
berisiko kepada negara kita.
Walaupun
ia mungkin tidak menyebabkan simptom kronik, tetapi ia dikatakan menjadi
punca kecacatan abnormal pada bayi-bayi yang dilahirkan oleh wanita yang
menghidapinya.
Baca
lebih lanjut tentang 9 fakta virus ini di bawah.
9
Fakta Rakyat Malaysia Perlu Tahu Tentang Virus Zika
1. Disebarkan Oleh Nyamuk
Seperti denggi dan chikugunya, Virus Zika dibawa
oleh gigitan nyamuk aedes.
Terdapat beberapa kajian yang masih menyiasat sama
ada penyakit ini boleh berjangkit melalui hubungan seksual, namun ia belum
disahkan secara rasmi.
2. Gejala Seperti Demam Denggi
Seperti musuh dalam selimut, World Health
Organization (WHO) sendiri mengakui bahawa virus ini hanya membawa gejala
ringan bagi seseorang yang berkeadaan normal. Tidak banyak berbeza
daripada denggi, simptom biasa seperti demam panas, ruam, sakit mata,
dan sakit sendi akan berlarutan selama 2 hari hingga seminggu.
3. Walaupun Tiada Gejala Kronik, Saintis
Menganggap Mereka Mungkin Terlepas Pandang!
Dilaporkan hampir 80% daripada mereka yang mempunyai
virus ini tidak menyedarinya langsung dan kebanyakan mereka tidak memerlukan
rawatan khusus untuk pulih.
Walaupun ia mungkin melegakan, saintis melihat hal
ini sangat menakutkan kerana ia bermaksud lebih ramai manusia akan
berpotensi menjadi ‘pembawa’ kepada Virus Zika secara senyap sepanjang
dijangkiti. Sebuah laman web Vox Science and Health melaporkan saintis
beranggapan mereka mungkin telah memandang ringan terhadap ancaman virus ini
dahulu.
4. Belum Ada Ubat Dan Vaksin Virus Zika
Setakat ini, belum ada vaksin mahupun ubat
untuk merawat atau mencegah penularan Virus Zika untuk ibu hamil.
5. Dikaitkan Dengan Punca Bayi ‘Berkepala Kecil’
Virus
Zika dipercayai menyebabkan bayi yang dilahirkan mengalami sejenis keadaan
dikenali sebagai‘microcephaly’. Bayi yang dilahirkan dengan
keadaan ini mempunyai saiz kepala yang kecil, sehingga mengganggu
perkembangan otaknya.
Meskipun
terdapat kebarangkalian punca lain, terdapat bukti-bukti membimbangkan yang
mengaitkan Virus Zika dengan ‘microcephaly’.
6.
Jauhi 22 Buah Negara Ini!
Pusat
Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika mengeluarkan larangan
kunjungan ke 22 buah negara ekoran wabak Virus Zika yang semakin menular.
22
negara tersebut adalah Bolivia, Ekuador, Guyana, Brazil, Colombia, El Salvador,
French Guiana, Guatemala, Honduras, Mexico, Panama, Paraguay, Suriname,
Venezuela, Barbados, Saint Martin, Haiti, Martinique, Puerto Rico, Guadeloupe,
Samoa, dan Cape Verde.
Terkini,
WHO pula telah mengesahkan bahawa setakat ini terdapat 23 negara yang
dilaporkan dengan kes Virus Zika, termasuk 5 rakyat Perancis yang mendapat
virus ini sewaktu lawatan ke luar
negara.
7. Kementerian Kesihatan Malaysia
Nasihatkan Orang Awam Supaya Peka
Sungguhpun Malaysia berada jauh daripada lingkaran kawasan
amaran tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia menekankan supaya sentiasa
mengambil langkah berjaga-jaga kerana wabak tropika ini mudah merebak melalui
nyamuk.
Malah, menurut
sebuah akhbar tempatan, Virus Zika pernah dikesan di negara Asia Tenggara
seperti Thailand dan Indonesia pada tahun 2014 dan 2013.
Selain menunda
lawatan ke negara-negara tersebut, wanita hamil juga tidak
disyorkan menghampiri kawasan yang terdedah kepada pelancong luar negara
seperti lapangan terbang antarabangsa.
Oleh itu, langkah pencegahan yang boleh dibuat ialah melindungi
diri daripada gigitan nyamuk, terutamanya wanita mengandung. Selain memakai
pakaian panjang dan menggunakan ubat nyamuk, kita haruslah menjaga kebersihan
supaya tempat-tempat pembiakan nyamuk di sekitar kawasan rumah dihapuskan.
8. Amaran Tunda Kehamilan
Uniknya virus Zika ini ialah ia
dipercayai membahayakan bayi dalam kandungan. Sebab itulah terdapat negara
di Benua Amerika seperti Brazil dan El Salvador yang mengeluarkan kenyataan
supaya wanita dinasihatkan menunda dahulu kehamilan buat masa ini sebagai
tindakan berjaga-jaga.
Ekoran daripada bahaya virus ini juga, terdapat syarikat
penerbangan seperti Delta dan America Airlines menawarkan ‘refund’ bagi ibu hamil yang telah menempah tiket untuk
ke Brazil.
9. Sejuta Kes Dilaporkan Di Brazil, Dijangka
Akan Meningkat Hingga 4 juta
Buat masa ini, hampir sejuta rakyat Brazil disahkan menghidapi
Virus Zika. Kes ‘microcephaly’ pula
melonjak naik dengan peningkatan wabak Virus Zika.
Sementara itu, wakil dari WHO menganggarkan kes akan terus
meningkat sehingga 3-4 juta!
Jangan Leka, Ambil Langkah Pencegahan Dari
Sekarang
Semoga wabak ini dapat dikenalpasti puncanya dengan lebih tepat,
sekaligus membantu dalam merawat serta menyediakan vaksin.
Buat masa ini, lindungilah keluarga anda, terutamanya ibu
mengandung, daripada digigit nyamuk.
Jika ada sebarang tandayang disebutkan di atas, usah ragu-ragu
untuk mendapatkan nasihat doktor.
No comments:
Post a Comment